PEMENTASAN PURBAWARA MUZIKAL : SULALAT ‘US SALATIN – KEMAHARAJAAN MARITIM SELAT MELAKA
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka (JKKNM) menerusi Persatuan Gerakan Anak Seni dan CTRA Production akan mementaskan sebuah teater berbentuk purbawara muzikal bertajuk Sulalat ‘Us Salatin : Sebuah Kemaharajaan Maritim di Auditorium Panggung Seri, JKKNM, Ayer Keroh, Melaka pada 20, 21 dan 22 Disember 2024 pada jam 8.30 malam dan persembahan matinee pada Sabtu dan Ahad jam 3.00 petang.
Teater muzikal ini adalah kolaborasi antara Persatuan Gerakan Anak Seni dengan CTRA Production dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) Melaka dan turut mendapat sokongan daripada Inisiatif Belanjawan 2024 oleh GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai salah satu bentuk pementasan naskhah karya agung. Naskhah ini telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012 serta sudah mencecah 32 salinan di seluruh dunia.
Teater berbentuk purbawara muzikal yang dipentaskan ini berkisarkan tentang kemaharajaan maritim yang juga disebut sebagai pertuturan segala Raja-Raja atau Sejarah Melayu. Teater ini menyentuh asal-usul kemaharajaan maritim yang bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah, Raja Suran yang mengembara ke alam lautan, Kisah Kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, Kisah Tun Jana Khatib di Temasek, Kebijaksanaan Hang Nadim sehingga Singapura Dilanggar Todak, Kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, Melaka Zaman Gemilang hinggalah runtuhnya Empayar Melaka.